Maroc ingin didaftarkan pertubuhannya??

Berikut merupakan maklumat bagi menubuhkan sesuatu pertubuhan, jika kita benar-benar ingin menubuhkan MAROC sebagai sebuah pertubuhan/ kelab yang rasmi dan sah disisi undang-undang berikut merupakan kriteria-kriteria yang perlu ada sebelum membuat mendaftarkan sebagai satu pertubuhan sosial yang rasmi.


1. Apa itu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia?

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia adalah salah satu jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, iaitu badan utama kerajaan yang mengawasi pendaftaran sesebuah pertubuhan. Dengan perkataan lain, pertubuhan adalah juga biasanya disebutkan sebagai Badan-badan Bukan Kerajaan. Bagi maksud itu, undang-undang yang berkuatkuasa adalah Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan-peraturan yang dibuat dibawahnya, iaitu Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan. Di bawah Akta, sesuatu pertubuhan adalah ditakrifkan sebagai termasuk mana-mana kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan yang mengandungi tujuh atau lebih orang, samada sementara atau kekal, tidak ditubuhkan atau didaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain. Perkataan-perkatan tidak ditubuhkan atau didaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain. Ini adalah penting kerana syarikat-syarikat, kelab-kelab dan perkongsian-perkongsian yang pada asasnya bercorak perniagaan dan mencari keuntungan adalah tidak didaftar dengan Jabatan ini, tetapi adalah di bawah bidangkuasa jabatan-jabatan lain di dalam jentera kerajaan. Pertubuhan-pertubuhan di bawah bidangkuasa Jabatan ini adalah pada asasnya organisasi-organisasi bercorak sukarela dan tolong-menolong sesama sendiri dalam bentuk sosial, politik dan psikologi.

2. Apakah yang Jabatan buat?

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan adalah pada asasnya berhubungkait dengan hal-hal pendaftaran, pengawalan, penyeliaan dan juga penyelenggaraan rekod-rekod mengenai pertubuhan-pertubuhan berdaftar dan cawangannya di seluruh Malaysia supaya mereka tidak bergiat bertentangan dengan keselamatan, keamanan, ketenteraman awam, ketertiban, kebajikan atau kemoralan di Malaysia.

3. Apakah takrif pertubuhan di bawah Akta?

Di bawah Seksyen 2, Akta Pertubuhan 1966, sesuatu pertubuhan ditakrif sebagai termasuk mana-mana kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan dengan tujuh (7) atau lebih orang tidak kira apa jua jenis atau tujuannya, sama ada sementara atau kekal, tetapi tidak termasuk:-

Mana-mana syarikat yang didaftarkan di bawah peruntukan mana-mana undang bertulis.


Mana-mana syarikat atau persatuan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Mana-mana kesatuan sekerja yang didaftarkan atau dikehendaki di didaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Mana-mana syarikat, persatuan atau perkongsian yang ditubuhkan bagi maksud semata-mata untuk menjalankan apa-apa urusan yang sah disisi undang-undang yang bertujuan supaya keuntungan diperolehi.

Mana-mana syarikat kerjasama, yang didaftar di bawah mana-mana undang-indang bertulis.

Mana-mana organisasi atau persatuan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis berkaitan dengan pendaftaran sekolah-sekolah, yang organisasi atau persatuan itu menjadi sebahagian daripada kurikulum sekolah itu.

Mana-mana sekolah, jawatankuasa pengurusan sekolah, pesatuan ibubapa atau persatuan ibu bapa dan guru yang didaftar atau dikecualikan daripada didaftar di bawah mana-mana undang-undang.

4. Bagaimanakah caranya untuk menubuhkan sesebuah pertubuhan?

i) Suatu mesyuarat penubuhan hendaklah diadakan untuk menubuhkan pertubuhan yang dihadiri tidak kurang daripada 7 orang dan nama-nama mereka hendaklah dicatitkan di dalam minit mesyuarat.

ii) Mesyuarat penubuhan hendaklah meluluskan resolusi-resolusi seperti berikut:-

bersetuju tentang penubuhan pertubuhan
meluluskan nama pertubuhan
meluluskan tempat urusan (alamat) yang akan didaftarkan
melantik Ahli-ahli Jawatankuasa Penaja untuk mengendalikan pendaftaran pertubuhan
meluluskan perlembagaan dan aturan-aturan pertubuhan yang didaftarkan
mencatatkan perjalanan mesyuarat penubuhan (minit mesyuarat) pertubuhan termasuk resolusi-resolusi yang disebutkan di atas.

5. Bagaimanakah caranya untuk membuat permohonan?

Semua permohonan hendaklah dibuat di bawah Seksyen 7 (I) Akta yang disertai dengan perkara-perkara yang berikut:-

i) 6 salinan borang permohonan perundangan (Borang 1) dengan harga RM 1.00 bagi setiap salinan

ii) 6 salinan senarai Ahli Jawatankuasa Penaja dalam format spesifik

iii) 6 salinan perlembagaan dan aturan-aturan pertubuhan

iv) 6 salinan apa-apa bendera, lambang, lencana atau lain-lain tanda termasuk pengertiannya

v) 2 salinan minit mesyuarat yang mengandungi resolusi-resolusi yang tersebut di atas.

vi) Surat kebenaran menggunakan alamat atau tempat urusan, jika berkenaan (di dalam kes- kes di mana pertubuhan tidak memiliki premis)

vii) Stem bernilai RM 30.00 yang dilekatkan di atas salinan pertama sahaja borang permohonan (Borang 1)

Tiap-tiap salinan dibutir-butir (i)-(v) di atas hendaklah ditandatangani oleh dua orang pemegang utama pertubuhan. Pemegang jawatan utama bermaksud Yang DiPertua, Pengerusi, Timbalan Yang DiPertua, Timbalan Pengerusi, Naib Yang DiPertua, Naib Pengerusi, Bendahari atau Setiausaha.

* borang-borang permohonan (Borang 1) boleh diperolehi di Ibu Pejabat atau mana-mana pejabat Jabatan Negeri di atas bayaran

6. Di manakah permohonan boleh dikemukakan?

Permohonan untuk pendaftaran pertubuhan hendaklah dikemukakan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri di mana pertubuhan yang dicadangkan itu hendak diwujudkan.

7. Bolehkah sesebuah pertubuhan itu menubuhkan cawangan bagi pertubuhannya?

Peruntukkan untuk Menubuhkan Cawangan di bawah Seksyen 12(2)(a) Akta

Sesuatu pertubuhan yang didaftar di bawah Seksyen 7 (I) Akta hendaklah mempunyai peruntukan di dalam undang-undang daftarnya untuk menubuhkan cawangan dan permohonan hendaklah dibuat di bawah Seksyen 12 (I) untuk mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar Pertubuhan. Sesebuah pertubuhan tidak boleh menubuhkan cawangan jika tidak ada peruntukan di bawah undang-undang daftarnya untuk menubuhkan cawangan dan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar Pertubuhan.

8. Bagaimanakah caranya untuk membuat permohonan bagi menubuhkan cawangan pertubuhan?

Setiap permohonan untuk menubuhkan cawangan sesuatu pertubuhan hendaklah dibuat oleh pertubuhan induk. Selain itu, setiap permohonan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut:-

i) Sesuatu permohonan hendaklah dibuat di dalam borang perundangan, Borang 5 di dalam empat salinan dengan kos RM 1.00 bagi tiap-tiap satu salianan yang perlu disahkan dan ditandatangani oleh 2 pemegang jawatan utama pertubuhan induk.

ii) 2 salinan surat kebenaran untuk menggunakan alamat pemilik premis atau majikan sebagai tempat urusan.

iii) Stem pos bernilai RM 10.00 yang dilekatkan di atas salinan pertama sahaja di borang permohonan (Borang 5)

9. Dimanakah permohonan ini hendak dikemukakan?

Semua permohonan untuk menubuhkan cawangan pertubuhan hendaklah dikemukakan di Ibu Pejabat, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

10. Apakah tanggungjawab saya sebagai seorang pemegang jawatan di dalam sesebuah pertubuhan?

Di antara tanggungjawab-tanggunjawabnya ialah:-

i) Mentadbirkan pertubuhan mengikut undang-undang berdaftar.

ii) Memanggil/mengadakan mesyuarat-mesyuarat pertubuhan mengikut undang-undang berdaftar.

iii) Menyimpan minit-minit Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Jawatankuasa.

iv) Menyimpan rekod keahlian mengikut jenis keahlian.

v) Menyimpan rekod kewangan (Buku kira-kira, resit-resit, baucar-baucar penyata bank dan sebagainya).

vi) Mengutip Yuran

vii) Menyediakan dan membentang laporan Aktiviti Tahunan, Penyata Kewangan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan.

viii) Mendaftarkan semua pindaan kepada undang-undang berdaftar.

ix) Mendaftar pindaan alamat pertubuhan.

x) Mengemukakan penyata tahunan pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan setiap tahun.

11. Dalam keadaan/situasi apakah seseorang hilang kelayakan daripada memegang jawatan penasihat, pemegang jawatan dan pekerja kepada sesebuah pertubuhan berdaftar?

Ini adalah diperuntukan di bawah Seksyen 9A dan Seksyen 49, Akta Pertubuhan 1966. Seksyen 9A berbunyi seperti berikut:-



(1) Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (4), seseorang hendaklah hilang kelayakan daripada menjadi dan tidak boleh menjadi atau masih menjadi sebagai seseorang yang memegang jawatan, penasihat atau pekerja sesuatu pertubuhan berdaftar:-

a) jika dia telah disabitkan atas apa-apa kesalahan di bawah Akta ini, atau

b) jika dia telah disabitkan atas apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang dan dihukum denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang satu tahun, atau

c) jika terdapat apa-apa perintah tahanan, sekatan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri, pengusiran, tahanan kerana keselamatan, buang negeri atau imigresen di bawah undang-undang berkenaan yang sedang berkuasa, atau

d) jika dia adalah seorang bankrup yang belum dilepaskan, atau

e) jika dia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan sebagai sakit otak.

(2) Kelayakan seseorang di bawah perenggan (b) subseksyen (1) hendaklah terhenti pada akhir tempoh lima tahun bermula dari tarikh yang mana orang yang disabitkan itu dibebaskan atau tarikh denda dikenakan.

(3) Mana-mana orang yang tertaklukkepada mana-mana kelayakan di bawah subseksyen (1) perenggan (a), (b) atau (c) boleh memohon kepada Pendaftar untuk dikecualikan daripada pemakaian peruntukan mengenai kehilangan kelayakan itu.
Mengikut Seksyen 49 (yang terpakai kepada pemegang jawatan sahaja) jika seseorang itu memegang jawatan di dalam pertubuhan (kecuali parti politik) yang dibatalkan di bawah Seksyen 2A, 13(1)(c) (i),(ii),(iii),(iv), (vi),(vii),(viii),(ix) atau Seksyen 16, ia telah hilang kelayakan memegang jawatan di dalam mana-mana pertubuhan untuk tempoh 5 tahun dari tarikh pembatalan.

12. Apakah perbezaan antara Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Agung Dwi Tahunan dan Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali? Apakah juga maksud Mesyuarat Pemilihan?

Mesyuarat Agung Tahunan ialah Mesyuarat Agung yang diadakan tiap-tiap tahun.
Mesyuarat Agung Dwi Tahunan ialah Mesyuarat Agung yang diadakan setiap 2 tahun sekali.
Mesyuarat Tiga Tahun Sekali adalah Mesyuarat Agung yang diadakan setiap tiga tahun sekali
Mesyuarat Pemilihan bermakna Mesyuarat Agung yang di dalamnya diadakan pemilihan Ahli Jawatankuasa, samada diadakan tiap-tiap tahun atau 2 tahun sekali atau 2 tahun sekali. Pemilihan Ahli Jawatankuasa boleh diadakan samada setahun sekali atau 2 tahun sekali atau 3 tahun sekali tertakluk kepada peruntukan di dalam undang-undang pertubuhan yang berkenaan.

13. Apakah yang menyebabkan pendaftaran sesebuah pertubuhan itu dibatalkan?

Terdapat banyak sebab-sebab mengapa pendaftaran sesebuah pertubuhan itu dibatalkan. Di antara sebab-sebabnya adalah seperti berikut:-

1. Pertubuhan telah dibubarkan oleh ahli-ahlinya di bawah Seksyen 13(1)(a).

2. Pertubuhan yang didapati bertentangan dengan keselamatan negara, ketenteraman awam atau akhlak negara dan perintah di buat oleh Menteri mengikut Seksyen 5 seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 13(1)(b)

3. Pertubuhan yang didaftarkan di atas penipuan atau kesilapan atau salah nyataan di bawah Seksyen 13(1)(c)(i).

4. Pertubuhan digunakan bagi maksud-maksud yang menyalahi undang-undang atau bagi maksud-maksud yang bertentangan dengan keamanan, kebajikan, ketenteraman atau akhlak di bawah Seksyen 13(1)(c)(ii).

5. Pertubuhan didapati telah berusaha mencapai tujuan-tujuan lain daripada tujuan-tujuan yang ia didaftarkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iii).

6. Pertubuhan didapati sengaja melanggar Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 atau undang-undang tubuh atau melanggar Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv).

7. Pertubuhan yang tidak wujud lagi di bawah Seksyen 13(1)(c)(v).

8. Pertubuhan yang telah gagal mematuhi perintah meminda undang-undang tubuh pertubuhan seperti yang dikehendaki oleh Pendaftar mengikut Seksyen 13A, seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(vi).

9. Pertubuhan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 2A seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(vii).

10. Pertubuhan yang melanggar peruntukan mengikut Seksyen 52 seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(viii).

11. Pertubuhan yang menghadapi pertikaian dikalangan ahli-ahli atau pemegang jawatan dan gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 16(1) seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(ix).

12. Pertubuhan yang gagal mengemukakan penyata tahunan seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(d).

14. Adakah dikenakan bayaran bagi setiap permohonan atau carian maklumat yang dibuat oleh individu atau sesebuah pertubuhan?

Ya. Bayaran yang berikut hendaklah dibayar berkenaan dengan hal-hal yang tersebut di dalam Akta dan di dalam Peraturan-peraturan berkaitan dengan maklumat yang dipohon atau carian yang dibuat dalam rekod-rekod jabatan:-

Jenis Permohonan Bayaran
a) Apa-apa permohonan di bawah Seksyen 6 Akta untuk pendaftaran Pertubuhan (Peraturan 3). RM 30.00
b) Bagi mengeluarkan perakuan pengesahan di bawah Seksyen 9(b) Akta atau bagi mendaftarkan seseorang anggota sesuatu pertubuhan sebagai pegawai awam di bawah Seksyen 9 (c) Akta. RM 10.00
c) Apa-apa permohonan di bawah Seksyen 11(I) Akta untuk kelulusan bagi apa-apa penukaran nama atau tempat urusan atau bagi sesuatu pindaan kepada kaedah-kaedah sesuatu pertubuhan berdaftar. RM 10.00
d) Apa-apa permohonan di bawah Seksyen 12 Akta untuk kelulusan bagi menubuhkan sesuatu cawangan pertubuhan (Peraturan 7).
RM 10.00
e) Apa-apa permohonan untuk suatu salinan bagi diperakui mana-mana dokumen yang tiap-tiap yang diberi kepada sesuatu pertubuhan salinan oleh Pendaftar. RM 10.00
f) Bagi membuat salinan-salinan bagi diperakui mana-mana dokumen yang difailkan tiap-tiap muka di bawah Akta. RM 2.00
g) Apa-apa permohonan bagi maklumat mengenai nama dan/atau alamat sesuatu pertubuhan.
RM 2.00
h) Bagi memeriksa dokumen-dokumen sesuatu pertubuhan yang ada dalam milik Pendaftar atau Penolong Pendaftar. RM 10.00
i) Bagi memproses sesuatu rayuan kepada Menteri di bawah Seksyen 18 Akta.

RM 50.00




15. Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat atau khidmat nasihat dengan lebih lanjut lagi mengenai tatacara permohonan pendaftaran pertubuhan atau kaedah-kaedah pengurusan sesebuah pertubuhan?

Anda boleh mendapatkan sebarang maklumat atau khidmat nasihat di semua kaunter-kaunter Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia samada di Ibu Pejabat atau pejabat-pejabat cawangan negeri.




Comments

Popular posts from this blog

Tips umum dalam Radio Amatur

Kami kembali

Berita sukan Marocv